Wednesday 26 October 2011

PENDIDIKAN ISLAM


 
Jadilah kamu Rabbaniyin, iaitu orang-orang yang beribadat
 kepada Allah, kerana kamu mengajar isi kitab Allah, dan
kerana kamu selalu mempelajarinya (
Ali-Imran 79)

Konsep Pendidikan Islam 
 
Pendidikan Islam bermaksud memberi pendidikan kepada anak-anak atau murid-murid/pelajar berdasarkan ajaran Islam.  Mendidik juga bermaksud mengasuh, menjaga dan membelai supaya seseorang anak itu menjadi baik.  Baik di sini tentulah baik pada pandangan Islam.  Ilmu pengetahuan yang diberi itu ialah suatu wadah dalam pendidikan.  Justeru ilmu belum tentu mendidik, dan memberi ilmu juga belum tentu  lagi memberi pendidikan.
    Mendidik ialah kata-kata nasihat supaya murid melakukan sesuatu yang baik.  Menasihati murid supaya melakukan suruhan Tuhan seperti solat, beradab dengan ibu bapa dan guru adalah pendidikan.  Menasihati murid supaya belajar dengan baik dan tekun adalah pendidikan.  Menjaga kebersihan diri, bilik darjah, kawasan sekolah, kantin, padang adalah tuntutan Islam.  Kekemasan diri, bilik darjah, kawasan rumah,   juga tuntutan Islam.  Menasihati pelajar atau murid melakukan semua ini ialah pendidikan Islam namanya.
     Berdasarkan kepada takrifan ini bermakna, tugas pendidikan Islam  bukan terletak kepada ibu bapa dan guru agama sahaja, malah kepada semua orang Islam.  Kalau di rumah, ibu bapa dan keluarga itu yang bertanggungjawab memberi pendidikan Islam.  Manakala di sekolah pula, semua guru yang beragama Islam adalah bertanggungjawab memberi pendidikan Islam kepada semua murid Islam.  Guru agama atau istilah sekarang guru Pendidikan Islam, lebih luas tanggungjawabnya; pertama menyampaikan pengetahuan Islam dan kemudian mendidik dengan pendidikan Islam.  Masyarakat pula bertanggungjawab untuk menghidupkan budaya Islam di dalam masyarakat.   Ini termasuklah percakapan, pergaulan, permainan, urusan harian dalam hal ekonomi, politik, sosial, teknikal dan sebagainya.
    Kalau di sekolah guru mengajar supaya pelajar melakukan sesuatu yang baik atau sesuatu suruhan Tuhan, seperti solat, tutup aurat dan sebagainya, manakala dirumah ibu bapa tidak menunaikan solat dan tidak menutup aurat menurut kehendak Islam, bermakna ibu bapa tidak mendidik anaknya dengan pendidikan Islam dalam aspek tersebut.  Sama juga  dengan  sekolah.  Jika guru Pendidikan Islam mengajar dan mendidik pelajarnya dengan perkara-perkara yang dituntut oleh Islam seperti di atas, tetapi guru lain tidak melakukannya, bermakna guru Islam tidak mendidik pelajarnya yang beragama Islam supaya menghayati ajaran Islam.  Ini bermakna, guru tersebut tidak mendidik pelajarnya dengan pendidikan Islam. 
    Demikian jugalah dengan masyarakat.  Jika masyarakat tidak membanteras segala perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam yang wujud dalam masyarakat tersebut, sebaliknya menganjurkannya pula, bermakna masyarakat tersebut tidak mendidik anak buahnya dengan pendidikan Islam, malah sebaliknya meruntuhkan Islam.  Kalau inilah yang berlaku, pendidikan Islam yang dilakukan oleh guru Agama dalam bilik kelas itu tidak akan berkesan.  Dengan demikian, jika berlaku sesuatu yang tidak diingini dalam masyarakat, seperti keruntuhan akhlak dan sebagainya, maka jangan disalahkan orang lain.  Kerana itu yang dikehendakai oleh ibu bapa, guru dan masyarakat. Setiap orang akan menegakkan benang basahnya dengan mengatakan ia betul dan orang lain yang salah seperti cerita bangau oh bangau, tetapi kita lupa, bahawa setiap orang akan menjawabnya di hadapan Tuhan.
    Malah, dalam pengajaran Pendidikan Islam itu sendiri, jika guru tidak hati-hati, guru hanya menyampaikan maklumat atau pengetahuan Islam sahaja, guru berkenaan tidak mendidik dengan pendidikan Islam.  Misalnya, guru Pendidikan Islam atau guru agama mengajar pelajarnya dengan tajuk Syarat Wajib Jumaat.  Di akhir pelajaran pelajarnya dapat menyebut syarat-syarat tersebut, maka ini baru tercapai objektif pelajaran.  Guru tersebut, sebenarnya belum lagi mendidik pelajarnya dengan pendidikan Islam.  Pendidikan itu ialah kata-kata nasihat supaya pelajar menghayati ajaran Islam. 
    Kalau dalam tajuk ini, guru hendaklah menasihati pelajarnya (lelaki) supaya menunaikan solat Jumaat.  Lebih baik lagi, guru mengiringi pelajar ke masjid.  Dan sebelum ke masjid,  guru patut juga mendidik pelajarnya.  Iaitu menasihatkan pelajar supaya jangan bising di masjid.  Duduk dengan tertib di dalam masjid dan membaca apa-apa zikir yang baik, seperti membaca al-Quran atau selawat ke atas nabi.  Jika ini berlaku, maka barulah dikatakan mendidik dengan pendidikan Islam.  Demikianlah seterusnya dalam tajuk-tajuk yang lain, atau pun pelajaran-pelajaran yang lain yang bukan mata pelajaran agama.  Bagi guru yang kreatif, ia boleh memasukkan pendidikan Islam melalui pelajarannya.
    Ini bermakna, bahawa pendidikan Islam itu mempunyai dua maksud.  Pertama bermaksud pendidikan Islam khusus. Iaitu yang merangkumi pelajaran tradisional seperti aqidah, ibadah, tafsir, sejarah, hadis dan sebagainya.  Kedua ialah pendidikan Islam umum, yang mana ia merangkumi semua kata-kata nasihat yang boleh membangunkan potensi yang ada pada setiap pelajar melalui semua mata pelajaran sekolah serta melewati segala aspek hidup.  Inilah yang dikatakan pendidikan Islam.
     


FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM

Falsafah Pendidikan Islam ialah falsafah pendidikan yang berteraskan ruh Islam, iaitu falsafah Islam untuk pendidikan, dan ia disebut Falsafah Pendidikan Islam (Al-Syaibany, 1991).  Jadi, maksud daripada Falsafah Pendidikan Islam ialah menyediakan manusia dengan dan ilmu pengetahaun yang cukup agar ia kenal dirinya serta tugas dan tanggungjawabnya, serta mengetahui cara untuk menjalankan atau melaksanakan tanggungjawabnya sebagai hamba dan khalifah Allah.  Bila ia dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab ini dengan baik maka jadilah ia insan yang saleh.  
    Ahli falsafah pendidikan Islam atau failasuf pendidikan Islam ialah orang yang berusaha berfikir mencari apakah perkara-perkara yang perlu dimasuklah ke dalam kurikulum pendidikan.  Ini termasuklah ilmu, kemahiran, nilai, pengalaman dan sebagainya, yang mana setelah menjalani pendidikan beberapa lama akan lahir seorang insan yang kenal dirinya, kenal Tuhannya, faham tujuan Allah jadikan segala yang ada, mengetahui hukum-hukum Allah dan mengamalkannya, bertamadun, pandai berkawan sama ada dengan orang Islam atau pun bukan Islam.   Antara perkara yang penting yang difokuskan oleh falsafah pendidikan Islam ialah:
    Pendidikan Aqidah, Pendidikan Ibadah, Pendidikan Akhlak, Pendidikan Akal, Pendidikan Jasmani, Pendidikan Rohani, Pendidikan Keterampilan, Pendidikan Keibubapaan, Pendidikan Kemasyarakatan, Pendidikan Kepimpinan, dan banyak lagi.
    Jadi, berdasarkan falsafah Islam, semua perkara yang disebutkan diatas itu perlu ada dan menjadi tajuk-tajuk penting dalam kurikulum pendidikan Islam.  Dengan demikian, barulah dapat melahirkan insan soleh yang mampu melaksanakan tugasnya sebagai hamba dan khalifah Allah dengan betul dan sempurna seperti yang dibincang dalam Matlamat Pendidikan Islam.  Penyataan Falsalah Pendidikan Islam yang digubalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, nampaknya ada unsur untuk menuju ke arah ini. 



MAKSUD PENDIDIKAN ISLAM

Pendidikan Islam segala aspek yang berkaitan dengan pendidikan, dan semuanya mesti dilihat dan dilaksanakan mengikut prinsip Islam.  Ini termasuklah gurunya, pengurusnya sama ada di sekolah atau di pejabat (Jabatan dan Kementerian),  kriteria pemilihan guru, pemilihan kakitangan sekolah dan pejabat, kurikulum, sukatan pelajaran, buku teks, falsafah, matlamat dan segala-galanya mesti berdasarkan kepada prinsip Islam.  Kalau tidak berdasarkan kepada prinsip Islam maka ia tidak dinamakan sistem pendidikan Islam, walau pun di dalamnya terdapat pengetahuan agama Islam, seperti pengetahuan Agama Islam yang diajar di sekolah, di maktab, di politeknik, universiti dan lain-lain institusi pendidikan.  Kerana pengetahuan Agama Islam itu, atau Tamadun Islam yang diajar itu, merupakan sebagai tempelan atau sulaman sahaja.  Akibatnya kita tidak dapat melahirkan orang Islam yang mengamalkan Islam secara total, kerana ia bukan lahir daripada sistem, sebaliknya lahir daripada tempelan.  Kalau Pendidikan guru, misalnya, maktab perguruan atau universiti yang bukan mengikut sistem pendidikan Islam, maka kita tidak dapat melahirkan guru Islam yang sebenarnya, yang lahir ialah guru Tampal Sulam (Hasan langgulung 1991).  Jadi, sistem yang tampal sulam itu mengeluarkan guru yang tidak lebih daripada Guru Tampal Sulam.  Jadi pendidikan Islam itu ialah suatu yang luas dan bersifat holistik, bukan sempit seperti yang difahami oleh kebanyakan orang.


KAEDAH PENGAJARAN PENDIDIKAN ISLAM

Kaedah pengajaran yang baik ialah yang mempunyai langkah-langkah dan strategi yang tersusun serta objektif yang tepat dan boleh dicapai.  Di samping itu, matlamat yang hendak dituju juga mestilah terang dan jelas.  Strategi pengajaran ialah satu yang sangat penting dalam setiap aktiviti pengajaran dan pembelajaran.  Congelosi (1992) mencadangkan bahawa setiap pengajaran harus terlebih dahulu disediakan rancangannya dan dalam rancangan pengajaran ini harus mempunyai perkara-perkara berikut, iaitu:
          1.  Tujuan am (learning goal)
2.  Objektif pelajar (specific objective)
3.  Langkah-langkah pengajaran yang mengandungi aktiviti-aktivit
              
tertentu untuk menolong pelajar mencapai objektif pelajaran
          4.  Perlu ada makanisma untuk memantau kemajuan pelajar
 
          5.  Penilaian (sumative evaluation) untuk mengukur
               pencapaian
pelajar

No comments:

Post a Comment